fb fb fb fb fb

Pengasuh disyaki dera bayi hingga mati, kes bersambung 5 Oktober

IPOH, 20 Julai- Mahkamah Majistret Ipoh menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pengasuh yang disyaki mendera bayi perempuan berusia enam bulan hingga meninggal dunia.

Majistret S.Punitha menetapkan tarikh tersebut untuk penyerahan dokumen laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan Wooi Cheng, 51 tahun didapati telah membunuh Cheong Si Yu, 6 bulan, antara 9 Julai hingga 12 Julai di Taman Tawas Indah, Chemor.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam, J. Matthews.


(Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan
dalam bahasa Mandarin)

Media Baharu