fb fb fb fb fb

Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M, Ahad ini di PICC

FOTO JAKIM

KUALA LUMPUR, 5 Julai- Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M akan berlangsung pada hari Ahad ini  7 Julai 2024 bersamaan 1 Muharram 1446H bermula  pukul 10.00 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan memberitahu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut.

Beliau berkata, turut dijadual hadir sama ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri.

Katanya, tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” dipilih sebagai manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.

"Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah (kejayaan) perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI,"katanya.

Kemuncak majlis itu ialah penyampaian Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

Sementara itu, umat Islam dijemput ke Masjid Putra untuk mengimarahkan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada hari Sabtu, 6 Julai 2024 pukul 7.00 malam bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) – Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar.

Seramai 6,000 orang tetamu dijangka akan hadir termasuk Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet, duta-duta, Ketua-ketua Jabatan / Agensi Kerajaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan orang awam.

Majlis tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh semua stesen radio RTM termasuk radio berbahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Orang Asli.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE