fb fb fb fb fb

Saluran 24 jam Malaysia4Palestin pupuk kesedaran krisis kemanusiaan di Palestin

Malaysia4Palestine bermula pada 12 tengah hari ini hingga 12 tengah hari esok di RTMKlik selain di Astro dan Sooka.

KUALA LUMPUR, 25 Mei - Saluran sementara Malaysia4Palestine yang bersiaran selama 24 jam mengetengahkan krisis kemanusiaan di Palestin bukti Malaysia konsisten bersama rakyat itu di Gaza.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berharap dengan siaran tanpa henti itu membuka mata dan memupuk kesedaran lebih banyak pihak dan menyatakan solidariti mereka terhadap Palestin.

"Yang penting usaha 24 jam siaran ini saya terima dengan baik, ia adalah satu usaha cukup murni.

"Jadi saya lihat kita perlu terus memberi sokongan, menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin terutama pada saat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa, di sini hari ini.

Saluran sementara Malaysia4Palestine bermula pada 12 tengah hari ini hingga 12 tengah hari esok di RTMKlik selain di Astro dan Sooka.

Kerjasama julung tersebut mendapat sokongan lebih 100 personaliti tempatan dari pelbagai industri termasuk perfileman, berita, muzik dan bantuan kemanusian.

Menyentuh mengenai program jelajah bersama siswa yang mana beliau berpeluang menjawab beberapa soalan daripada peserta dalam sesi dialog beliau berharap ia akan diteruskan dalam setiap acara sambutan HAWANA pada masa akan datang untuk menyemarakkan lagi perbincangan dan penglibatan dengan lebih ramai ahli komuniti wartawan.

GRACE AISYAH KEDAYAN