TUARAN, 10 Ogos – Kerajaan Negeri Sabah menzahirkan rasa simpati mendalam berikutan insiden melibatkan seorang pelajar sekolah, Zara Qairina, yang kini menjadi perhatian ramai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyeru rakyat supaya tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi sehingga siasatan pihak berkuasa selesai.
“Kerajaan negeri amat simpati dengan situasi yang berlaku ini. Namun, kita diminta supaya tidak membuat andaian yang pelbagai pada waktu ini. Proses undang-undang perlu diberi ruang untuk berjalan dengan lancar dan sebaik mungkin. Setelah siasatan selesai, barulah kita akan mengetahui punca sebenar kejadian ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajau-Samah, hari ini.
Menurut Datuk Seri Hajiji, pelbagai andaian yang tidak tepat telah tersebar, oleh itu adalah penting untuk memberi kepercayaan penuh kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
“Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka tanpa gangguan, dan kami yakin hasil siasatan akan diumumkan setelah ia selesai,” tambah beliau.
Kerajaan Negeri Sabah menegaskan, proses undang-undang mesti diberi ruang yang sewajarnya supaya kebenaran dapat terungkai dan keadilan dapat ditegakkan bagi semua pihak yang terlibat.