RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) dibentang untuk bacaan pertama

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Had nilai kontrak Suruhanjaya dinaikkan daripada RM5 juta kepada RM50 juta tanpa keperluan kelulusan Menteri atau persetujuan Menteri Kewangan.
  • Komposisi keanggotaan dipinda, memperuntukkan tiga wakil Kerajaan Persekutuan termasuk seorang Ketua Setiausaha sebagai anggota ex officio.
  • Bilangan anggota bukan kerajaan ditingkatkan daripada lima kepada tujuh dengan kepakaran komunikasi, perundangan, ekonomi dan perlindungan pengguna.
  • Tempoh jawatan dua tahun boleh dilantik semula maksimum lima tempoh; fungsi Suruhanjaya diperluas untuk mengawal piawaian infrastruktur, keselamatan dan integriti rangkaian.

Antara cadangannya ialah memperluaskan fungsi suruhanjaya, mengubah komposisi keanggotaan dan menaikkan had nilaian kontrak tanpa kelulusan Menteri sehingga RM50 juta.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata bacaan kali kedua RUU itu akan dibuat pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah RUU berkenaan yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen, antara cadangan utama ialah pindaan Seksyen 45 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) menerusi Fasal 15 yang meningkatkan had nilai kontrak yang boleh dimeterai oleh Suruhanjaya secara mandiri.

“Had nilaian kontrak yang boleh dibuat oleh Suruhanjaya tanpa keperluan untuk mendapatkan kelulusan Menteri dan persetujuan Menteri Kewangan dicadangkan dinaikkan daripada tidak melebihi RM5 juta kepada tidak melebihi RM50 juta,” menurut RUU tersebut.

RUU itu turut mencadangkan penggantian Seksyen 6 menerusi Fasal 3 bagi memperjelas komposisi keanggotaan Suruhanjaya yang memperuntukkan pelantikan tiga orang anggota mewakili Kerajaan Persekutuan.

“Salah seorang daripadanya hendaklah Ketua Setiausaha bagi Kementerian yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi komunikasi dan multimedia yang merupakan anggota ex-officio,” menurut RUU itu.

Pindaan itu juga menaikkan bilangan maksimum anggota lain daripada lima kepada tujuh orang anggota yang mempunyai kelayakan, pengalaman dan pengetahuan dalam perkara berkaitan termasuk komunikasi, perundangan, ekonomi dan perlindungan pengguna.

Selain itu, Fasal 4 menetapkan tempoh jawatan bagi Pengerusi dan anggota lantikan selama dua tahun dan layak dilantik semula, namun tidak boleh memegang jawatan lebih daripada lima tempoh sama ada terus menerus atau selainnya.

Sementara itu, Fasal 7 memperluas fungsi Suruhanjaya untuk membangun dan mengawal selia piawaian infrastruktur serta platform bagi menggalakkan saling kendali selain mengawal selia piawaian keselamatan, integriti dan keutuhan aset maklumat serta rangkaian komunikasi. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.