fb fb fb fb fb

Rundingan pembinaan jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok dengan Thailand perlu disegerakan - Tok Pa

(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed meninjau perancangan projek sekitar Rantau Panjang)  

RANTAU PANJANG, 12 Mac - Kerajaan akan memulakan kembali rundingan bersama kerajaan Thailand bagi menyegerakan pembinaan jambatan kedua dan menaik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dengan Golok,Thailand.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perkara itu dibangkitkan ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand bulan lepas dan ia telah pun mendapat persetujuan pemimpin kedua-dua negara.

Jelas beliau, projek itu tertangguh hampir dua tahun biarpun kelulusan pembinaan telah dibuat pada Disember 2020 dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) melibatkan nilai keseluruhan RM210 juta.

"Kita diberi taklimat ada banyak masalah lagi sukar, kalau boleh pasal peruntukan ada tahun lepas RM15 juta, tahun ini RM10 juta, jadi di pihak kerajaan nak belanja lah, kalau boleh secepat mungkin tapi oleh kerana ia melibatkan dua negara, maka kita tak boleh pandai-pandai, kena dapat persetujuan kedua-dua belah pihak.

"Kita harap dengan adanya keputusan pada 26 Februari, maka isu-isu ini akan dapat ditangani segera dan diselesaikan oleh kerana kedua-dua pemimpin telah bersetuju," katanya ketika ditemui media selepas menerima taklimat perancangan projek sekitar Rantau Panjang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini.

Turut serta, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarat yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.


(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika sidang media) 

Mengulas lanjut, Mustapa berkata berikutan pembinaannya melibatkan dua negara, kaedah pelaksanaan projek jambatan sepanjang 116 meter itu sedang diperincikan antara kedua pihak.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan projek naik taraf infrastruktur dan kemudahan sedia ada ICQS Rantau Panjang juga akan dimulakan kembali dalam tempoh terdekat melibatkan kos berjumlah RM108 juta.

Mengenai projek tebatan banjir di Pasir Mas, Mustapa memaklumkan kerajaan telah meluluskan pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN) fasa 2 dengan nilai lebih RM450 juta.

Media Baharu