fb fb fb fb fb

Rumah Kasih Keluarga Malaysia: RM50 juta diperuntuk, bantu penduduk terjejas banjir

 


MARAN, 25 Januari- Sebanyak RM50 juta ringgit diperuntukkan bagi menjayakan projek Rumah Kasih Keluarga Malaysia kepada penduduk terjejas banjir di seluruh negara.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bergerak bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membantu kerja baik pulih dan membina rumah baharu.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib berkata, kos sebanyak RM5,000 sehingga RM15,000 diperuntukkan bagi kerja baik pulih manakala bantuan penuh sehingga RM65,000 bagi membina rumah baharu.

Katanya, penerima yang layak dipilih setelah pemeriksaan, penilaian dan pengesahan data dibuat oleh agensi penilai iaitu KPKT, KPLB, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Negeri.

"Pada masa sama, KPKT bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga turut membantu membaiki barangan elektrik yang rosak akibat banjir dan bagi tujuan itu, kira-kira RM1 juta nilai barangan elektrik yang rosak dapat diselamatkan."

"Kita ada pusat pusat latihan yang digabungkan dengan KSM dan kumpulkan mereka yang mempunyai kemahiran teknikal. Saya sendiri terlibat secara langsung membaiki peralatan elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan sebagainya dan kita selamatkan lebih kurang di Selangor sahaja RM1 juta kosnya dapat dipulihkan peralatan ini, jika tidak mereka akan musnahkan dan buang," katanya selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan ( BWI) Banjir Fasa 2, di sini.

Seramai 328 Ketua Isi Rumah yang terjejas banjir dan tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Chenor menerima bantuan.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata pada majlis itu, penerima bantuan diberikan wang tunai sebanyak RM1,000 sumbangan Kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan Pahang.

Media Baharu