RPM 2026–2035: Pendidikan fokus seimbang akademik, sahsiah dan nilai

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad/Foto RTM

AYER KEROH, 19 Mei – Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dirangka sebagai persediaan menyeluruh bagi memastikan kanak-kanak di negara ini bersedia menghadapi cabaran masa hadapan termasuk perkembangan teknologi dan perubahan nilai global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan menekankan pembentukan insan sejahtera: seimbang akademik, emosi, psikologi, adab dan sahsiah.
  • Menangani rempuhan nilai luar yang bertentangan dengan budaya dan pegangan tempatan.
  • Pembelajaran tidak hanya akademik; pembentukan karakter berasaskan nilai budaya bangsa.
  • Warga pendidik perlu galas akujanji melaksanakan inisiatif RPM sebagai rangka pengukuhan sistem pendidikan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pelaksanaan RPM memberi penekanan kepada pembentukan insan sejahtera yang seimbang dari segi akademik, emosi, psikologi serta adab dan sahsiah.

Beliau berkata, generasi muda ketika ini berdepan ‘rempuhan nilai’ luar melalui teknologi tanpa sempadan yang kadangkala tidak selari dengan budaya serta pegangan masyarakat negara ini.

“Sebahagian besar proses pembelajaran dari peringkat asas hingga peperiksaan tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, tetapi juga pembentukan karakter berasaskan nilai budaya bangsa kita.

“Kita mahu anak-anak kita kelak mampu menghargai perbezaan, saling menghormati, bekerjasama dan mewujudkan kehidupan yang sejahtera untuk Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Bicara Profesional Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia bersama Pengetua dan Guru Besar (PGB) Negeri Melaka 2026 di Kolej Yayasan Saad, Ayer Keroh.

Menurut beliau lagi, RPM merupakan satu akujanji yang perlu digalas oleh warga pendidik bagi memastikan setiap inisiatif dan hala tuju pendidikan negara mencapai matlamat yang digariskan.

RPM 2026-2035 dilihat menjadi kerangka penting dalam memperkukuh sistem pendidikan negara selaras dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.