fb fb fb fb fb

RM4 juta untuk pembangunan belia di Pahang

Peruntukan disalurkan melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Belia Negeri Pahang serta badan bukan kerajaan

KUANTAN, 29 Oktober - Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi pelaksanaan program melibatkan pembangunan belia di negeri itu untuk tahun ini.

Peruntukan tersebut disalurkan melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Belia Negeri Pahang serta badan bukan kerajaan (NGO).

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata peruntukan termasuk pelaksanaan program kepimpinan belia, latihan, kesukarelaan, keusahawanan, teknokrat, sukan, dan sebagainya.

"Untuk pengetahuan peruntukan berjumlah RM4 juta daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku kepada belia di negeri ini adalah antara peruntukan terbesar yang disalurkan jika dibandingkan dengan peruntukan seumpamanya di negeri-negeri lain," kata Fadzli, ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Belia Negara 2023 Peringkat Negeri Pahang, di sini.

Majlis tersebut disempurnakan Tengku Panglima Raja, Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim yang mewakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

TETITIA YUSOFF