RM3.28 juta untuk pembangunan 164 rumah ibadat komuniti India

Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 Oktober – Sebanyak 164 rumah ibadat komuniti India di seluruh negara menerima peruntukan RM3.28 juta menerusi Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Harmoni MADANI Siri 1 peruntuk RM1.38 juta bagi 69 rumah ibadat; 57 gurdwara dan 12 gereja.
  • Program Dharma MADANI Fasa 2 menyalurkan RM1.9 juta kepada 95 rumah ibadat Hindu.
  • Inisiatif memperkukuh peranan rumah ibadat sebagai pusat keagamaan dan pemacu pembangunan komuniti, memupuk kesejahteraan serta keharmonian.

Peruntukan itu bertujuan memperkukuh peranan rumah ibadat bukan sahaja sebagai pusat keagamaan, malah sebagai pemacu pembangunan komuniti setempat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa institusi rumah ibadat serta memperluas sumbangannya terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

“Kita berjaya melaksanakan satu program di mana kita melibatkan 164 rumah ibadat bukan sahaja Hindu kali ini tetapi Sikh dan Kristian berbangsa India.”

“Jadi RM3.28 juta telah disalurkan, 69 daripada rumah ibadat tersebut adalah 57 adalah gudwara, 12 adalah gereja dan ini akan bersambungan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI disini.

Menerusi Program Harmoni MADANI Siri 1, sebanyak RM1.38 juta diperuntukkan kepada 69 rumah ibadat, membabitkan 57 gurdwara dan 12 gereja.

Setiap rumah ibadat menerima bantuan RM20,000 bagi menyokong keperluan serta pelaksanaan aktiviti keagamaan, kerohanian, kebudayaan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, sebanyak RM1.9 juta disalurkan kepada 95 rumah ibadat Hindu menerusi Program Dharma MADANI Fasa 2.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan peruntukan yang diluluskan menerusi Program Dharma MADANI sebanyak RM15.42 juta, melibatkan 771 rumah ibadat Hindu di seluruh negara.

Menurut Ramanan, bantuan kewangan berkenaan turut membolehkan pelbagai aktiviti komuniti dilaksanakan khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan kerohanian dan sahsiah, kebudayaan serta pemerkasaan generasi muda.

Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh sokongan kepada rumah ibadat yang layak dalam usaha meningkatkan peranannya sebagai pusat keagamaan dan pembangunan komuniti.

Inisiatif berkenaan turut diharap dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat India, selain memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.