Agihan peruntukan: Tiada kawasan Parlimen dipinggirkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Tiada kawasan Parlimen, termasuk kawasan diwakili pembangkang dipinggirkan dalam pengagihan peruntukan pembangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penentuan peruntukan berdasarkan keutamaan negara, keperluan rakyat, kemampuan kewangan serta input kementerian, jabatan, negeri dan pejabat daerah.
  • Peruntukan pembangunan berbeza daripada dana yang disalurkan terus kepada Ahli Parlimen, pelaksanaan projek tidak semestinya melalui wakil rakyat.
  • Kerajaan bersedia rundingan mekanisme penyaluran kepada Ahli Parlimen; Timbalan Perdana Menteri diberi mandat untuk mengurus rundingan dan pelaksanaan persetujuan.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai contoh peruntukan Persekutuan bagi negeri Terengganu meningkat daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion pada 2027.

Tambahnya, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet di mana semua kawasan Parlimen perlu diberi pertimbangan dalam mendapat peruntukan sekali gus menolak dakwaan berlaku pengurangan dana bagi negeri yang diwakili pihak pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, penentuan peruntukan pembangunan dibuat berdasarkan keutamaan negara, keperluan rakyat setempat dan kemampuan kewangan kerajaan, selain mengambil kira input kementerian, jabatan, kerajaan negeri serta pejabat daerah.

Peruntukan pembangunan untuk sesuatu kawasan Parlimen berbeza daripada dana yang disalurkan secara langsung kepada Ahli Parlimen kerana pelaksanaan projek tidak semestinya melalui wakil rakyat berkenaan.

“Persoalannya, mengapa peruntukan itu tidak disalurkan melalui Ahli Parlimen? Kedua-dua perkara ini berbeza. Sebelum ini, ketika saya menjadi Ketua Pembangkang, peruntukan kepada Ahli Parlimen diberikan dengan persetujuan Perdana Menteri ketika itu.

“Namun, dari segi pelaksanaan projek pembangunan, rakyat dan kawasan tetap mendapat manfaat dan tidak dipinggirkan seperti yang didakwa. Penyaluran projek pembangunan tidak semestinya perlu melalui Ahli Parlimen.

“Malah, di kawasan yang diwakili parti kerajaan sendiri, peruntukan juga tidak disalurkan secara langsung kepada Ahli Parlimen kerana peranan mereka hanya untuk mengesahkan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan terbuka untuk mengadakan rundingan berhubung mekanisme penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen, termasuk menerusi kaedah dan prosedur yang pernah dipersetujui sebelum ini.

Malah ujarnya, beliau telah memberikan mandat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengadakan rundingan berhubung perkara itu dan bersedia melaksanakan persetujuan sekiranya dokumen berkaitan ditandatangani.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.