
PUTRAJAYA, 27 Oktober – Kerajaan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi memperluaskan Program Uyarvu MADANI susulan permohonan tinggi diterima daripada usahawan kecil, khususnya golongan B40.
- 8,368 permohonan diterima; kira-kira 700 hingga 780 pemohon dijangka menerima bantuan.
- Jika Fasa 1 dan Fasa 2 digabung, kira-kira 1,100 hingga 1,150 usahawan mungkin akan dibantu.
- Uyarvu MADANI memberikan geran sehingga RM50,000; beberapa penerima akan menerima RM20,000 atau RM30,000 mengikut keperluan.
- Pemilihan beri keutamaan kepada usahawan benar-benar memerlukan tanpa akses pinjaman, dan kerajaan akan memantau penerima bagi memastikan perkembangan perniagaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sebanyak 8,368 permohonan diterima bagi program berkenaan, namun berdasarkan kemampuan semasa, sekitar 700 hingga 780 pemohon dijangka menerima bantuan.
“Jika jumlah keseluruhan bagi Fasa 1 dan Fasa 2 diambil kira, kita mungkin dapat membantu kira-kira 1,100 hingga 1,150 usahawan.”
“Tetapi lebih 8,000 permohonan yang kita terima merupakan satu angka yang besar dan ini jelas menunjukkan ramai usahawan kecil, termasuk usahawan B40 yang sedang berusaha untuk maju, memerlukan bantuan ini.”
“Jadi, untuk pusingan seterusnya, kita bukan sahaja akan memohon peruntukan tambahan, tetapi juga melihat sumber lain yang boleh digunakan. Amanah Ikhtiar ada peruntukan, TEKUN juga ada peruntukan.”
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI di Putrajaya.
Ramanan menjelaskan, bantuan menerusi Uyarvu MADANI diberikan dalam bentuk geran, berbeza dengan kemudahan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional yang berbentuk pinjaman.
Bagi Uyarvu MADANI, kerajaan merancang menyediakan geran sehingga RM50,000 bagi setiap pemohon, manakala terdapat penerima yang akan memperoleh RM20,000 atau RM30,000 berdasarkan keperluan.
Justeru, pemilihan penerima akan memberi keutamaan kepada usahawan yang benar-benar memerlukan bantuan, khususnya mereka yang tidak mempunyai peluang mendapatkan pinjaman tetapi mempunyai perniagaan berpotensi untuk berjaya.
Kerajaan turut akan melaksanakan pemantauan terhadap penerima bagi mengenal pasti sebarang kekurangan dan membantu memastikan perniagaan mereka dapat terus berkembang.