fb fb fb fb fb

RM100 Juta untuk inovasi pembiayaan kewangan Islam

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Dana padanan RM100 juta disediakan bagi menggalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mengurangkan pergantungan terhadap produk patuh syariah yang mirip kepada konvensional.

"Antara pembiayaan yang diperintiskan termasuklah berasaskan prinsip musharakah yang melibatkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil.

Kemudahan tersebut tertumpu kepada projek kewangan iklim termasuk projek keterjaminan makanan dan dilaksanakan dengan padanan dana daripada institusi perbankan Islam dan pelabur swasta," kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, di Parlimen.

Anwar juga berkata, Malaysia mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023, sekali gus mencatatkan pencapaian ini untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Walaupun kejayaan itu, masih terdapat banyak ruang yang boleh diteroka bagi mengangkat sektor kewangan Islam ke tahap lebih adil berlandaskan maqasid syariah selain berupaya menyaingi produk konvensional.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan pensijilan halal Malaysia mendapat pengiktirafan daripada hampir seluruh negara luar.

Untuk itu katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) perlu melipatgandakan usaha dalam memperkukuh industri halal negara dan menyokong syarikat halal tempatan.

Katanya, MATRADE diperuntukkan RM20 juta yang ditugaskan memacu perkembangan kapasiti lebih banyak perusahaan halal supaya lebih berdaya saing.

"Ke arah mempercepat urusan pengeluaran sijil halal, juruaudit halal JAKIM akan ditambah sebanyak 100 orang lagi. Sistem MYeHALAL juga ditambah baik bagi memusatkan 20 agensi Kerajaan dan 100 badan pensijilan halal luar negara dbawah satu platform.

"Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana tersedia hampir RM600 juta.

"Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) juga sedia menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan PKS halal dengan nilai jaminan sehingga RM1 bilion.

TETITIA YUSOFF