fb fb fb fb fb

RM100 juta diperuntuk laksana kerja kecemasan luar jangka- Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

BUTTERWORTH, 8 November- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), memperuntukkan RM100 juta sebagai kesiapsiagaan menghadapi fasa Monsun Timur Laut 2023/ 2024 yang dijangka bermula pada Sabtu ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, agihan peruntukan bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka itu telah disalurkan menerusi tiga fasa kepada 13 negeri dan tiga wilayah seluruh negara.

Jelasnya, skop kecemasan luar jangka itu membabitkan persediaan menjalankan pemulihan sistem saliran dan perparitan, pemulihan jalan dan jambatan serta memulihkan struktur kawalan banjir di lokasi terlibat.

“Keperluan setiap negeri juga berbeza dan baru-baru ini saya berkesempatan melawat beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan dan Selangor untuk melihat sendiri persediaan agensi terlibat untuk menghadapi banjir.

“Selain itu, kelengkapan tambahan seperti pam bergerak turut disediakan bagi mempercepatkan aliran air banjir sekali gus mengurangkan kedalaman banjir,” katanya selepas mengadakan lawatan ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Taman Siakap, Seberang Perai.

Hadir sama, Ketua Setiausaha NRECC, Dr. Ching Thoo Kim dan Pengarah JPS negeri, Ir. Mohd. Nazri Yasmin.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk melaksanakan RTB Taman Siakap dalam usaha mengurangkan risiko kejadian banjir di kawasan terbabit.

“Komponen utama projek adalah kerja menaik taraf dua buah rumah pam, pembinaan ‘flood wall’, menaik taraf pembentung Lebuhraya Kurau kepada jambatan serta kerja-kerja berkaitan," katanya.

Ujarnya, projek tersebut telah bermula pada 21 Ogos lalu dan dijangka siap pada 20 Ogos 2025.

ZEHRA BINTI ZAMBRI