
KLANG, 5 November – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diingatkan supaya tidak mengambil masa terlalu lama dalam menyediakan reka bentuk projek tebatan banjir bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepat, sekali gus mengurangkan risiko banjir berulang.
- Tindakan pantas dan proaktif semua agensi perlu untuk elakkan kelewatan projek tebatan dan kurangkan risiko banjir berulang.
- Isu banjir melibatkan tatakelola, integriti dan akauntabiliti, termasuk perbelanjaan, kelulusan pembangunan serta penyelenggaraan saliran.
- Pendekatan keseluruhan kerajaan diperlukan untuk penyelarasan agensi, elakkan kerja secara silo dan percepat usaha mitigasi serta kesiapsiagaan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tindakan pantas dan proaktif semua agensi pelaksana amat penting bagi memastikan projek berkenaan tidak tertangguh, terutama ketika rakyat terus berdepan ancaman bencana banjir.
Menurutnya, isu banjir bukan sekadar berpunca daripada fenomena alam atau taburan hujan luar biasa, sebaliknya turut berkait rapat dengan aspek tatakelola, integriti dan akauntabiliti penjawat awam.
“Musibah banjir bukan hanya soal fenomena alam atau taburan hujan yang luar biasa, ia juga berkait rapat dengan soal tatakelola.
“Sejauh mana integriti penjawat awam dalam memastikan setiap sen peruntukan tebatan banjir dibelanjakan tanpa ketirisan, kelulusan perancangan pembangunan yang tidak mengorbankan zon tadahan air, dan aspek penyelenggaraan longkang dan sungai yang dipantau secara berkala,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Negeri Selangor di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan JPS supaya mengambil langkah segera dengan memperkukuh penyelarasan bersama semua agensi berkaitan menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole-of-government.
Pendekatan itu penting bagi memastikan semua agensi bergerak secara bersepadu dan mengelakkan pelaksanaan tugas secara silo, sekali gus mempercepat usaha mitigasi serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir.