fb fb fb fb fb

Remaja diselamatkan dicadang sertai kursus TVET - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SERDANG, 18 September- Remaja yang berjaya diselamatkan hasil operasi polis ke atas rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dicadang diletakkan dalam kursus bersesuaian bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendidikan agama terutama aqidah merupakan antara aspek penting ketika ini untuk diterapkan kepada mereka.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata pihaknya telah membuat perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai perkara itu.

"Jemaah menteri pada hari ini telah membincangkan kaedah-kaedah meliputi soal kebajikan, latihan, masa depan dan akidah kanak-kanak ini dan mereka yang berusia remaja.

"Saya telah menjalankan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar dan beliau merasakan ada beberapa kursus yang bersesuaian untuk mereka berumur 16 tahun ke atas," katanya.

Ahmada Zahid berkata demikian ditemui selepas sesi lawatan di Laman Usahawan Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Setakat semalam kira-kira 2.3 juta pengunjung memeriahkan MAHA 2024 yang mendapat penyertaan dari luar negara seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Rusia yang menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan.

Sebanyak RM360,000 hasil jualan berjaya dicapai setakat semalam dan angka itu dijangka akan terus meningkat.

 

BERITA BERKAITAN 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI