fb fb fb fb fb

JAKIM adakan libat urus, dapatkan pengesahan status anak-anak GISBH

Dr Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 18 September- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan sesi libat urus dengan beberapa kementerian bagi mendapatkan pengesahan status anak-anak Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dibinkan dengan Abdullah.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, ketika ini satu kajian telah dilakukan bagi memastikan keputusan yang diperoleh nanti adalah keputusan yang tuntas mengikut hukum dan undang-undang.

"Ianya mesti melalui proses-proses libat urus dengan pihak-pihak berkaitan. Kita tidak boleh melangkaui pihak-pihak seperti ini supaya kita dapat satu keputusan tuntas yang mendapat legitimasi daripada semua pihak berwajib," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Madani Ummatan Wasata Peneraju Keharmonian, Pembangunan Dan Keamanan Global di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) di ibu negara.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, anak-anak itu perlu disahkan melalui dua peringkat iaitu oleh Jabatan Agama Islam yang mendaftarkan pernikahan sebelum ke peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Proses iaitu penentuan nasab itu oleh jabatan agama jabatan perdaftaran perkahwinan sebab kita perlu tentukan dulu pengesahan perkahwinan kemudian selepas pada itu baru pergi kepada bahagian JPN.

"Jadi JPN akan lihat sijil yang dikeluarkan oleh bahagian perkahwinan jabatan agama untuk menentukan keesahan perkahwinan itu, itu yang lebih aula, proses pertama yang ditentukan," katanya.

Semalam dalam satu sidang media, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan terdapat sebahagian kanak-kanak yang sudah dibinkan dengan Abdullah disebabkan perkahwinan awal tidak didaftarkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI