fb fb fb fb fb

Reformasi perkhidmatan awam jimat RM542 juta - KPPA

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika berucap pada Simposium Penilaian Strategik Setahun Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) 2025 di sebuah hotel hari ini. Foto-BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 September - Sebanyak RM542 juta berjaya dijimatkan pada tahun 2024 hasil Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) sejak diperkenalkan pada September tahun lepas.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan, penjimatan itu dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion tahun ini menerusi pelaksanaan Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) ke atas 700 projek di pelbagai peringkat kerajaan.

Katanya, bagi memperkukuh usaha reformasi, kerajaan menggubal Akta Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam (ILTIZAM) yang bertujuan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kualiti dan ketelusan tadbir urus.

“Tekad reformasi Akta ILTIZAM ini adalah untuk mengurangkan birokrasi dengan mempercepatkan proses perkhidmatan bagi meningkatkan kualiti dan ketelusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Simposium Penilaian Strategik Setahun ARPA di Marriot Hotel, Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, beberapa kejayaan awal telah dicatatkan, antaranya Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) yang berjaya menjimatkan RM17 juta menerusi penambahbaikan pembiayaan sektor aeroangkasa, selain memberi manfaat kepada 50 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain itu, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut mempercepat tempoh penilaian tender daripada 35 hari kepada 18 hari, sekali gus menjimatkan kos pematuhan tahunan sebanyak RM1.1 juta, manakala Majlis Perbandaran Kulim di Kedah berjaya mengurangkan tempoh proses permit pembinaan daripada 24 bulan kepada hanya 10 bulan.

Mengulas lanjut, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan berkata, ARPA menetapkan lima Teras Keberhasilan Reformasi (TKR) sebagai panduan utama, termasuk memperkukuh tadbir urus, memperkasa keterlibatan awam serta mempercepat transformasi digital dan inovasi.

Menurutnya, kejayaan reformasi tersebut menunjukkan pentingnya kerjasama erat antara pihak kerajaan dan rakan strategik termasuk sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya lagi, pandangan daripada pelbagai pihak termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) turut diambil kira dalam proses konsultasi bagi memastikan dasar kerajaan bersifat inklusif.

“Saya minta NGO OKU dijemput kerana suara mereka penting dalam penetapan dasar, khususnya berkaitan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan. Segala pandangan yang praktikal akan dilaksanakan segera,” katanya.

Beliau menegaskan sinergi antara kerajaan dengan sektor swasta juga perlu diperkukuh, khususnya menerusi inisiatif seperti Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030, bagi merancakkan pelaburan, pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa pendekatan baharu ini berlandaskan paradigma New Public Service yang menekankan keterlibatan rakyat dalam proses pentadbiran.

Keterlibatan semua pihak sangat dihargai dalam usaha memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat dirasai oleh rakyat. 

“Reformasi ini merupakan satu kemestian yang harus disahut oleh semua serta menjadi tekad untuk membangun negara,” katanya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN