KUCHING, 17 Oktober - Kes rasuah dalam kalangan penjawat awam di Sarawak masih berada pada paras terkawal, menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh.
Beliau memaklumkan, setakat tahun ini, SPRM Sarawak merekodkan kurang daripada 60 kes di seluruh negeri.
Bagaimanapun, katanya, angka tersebut hanya melibatkan kes yang dikendalikan oleh pejabat SPRM negeri.
“Kadang-kadang ada juga kes yang dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM, bukan semuanya di bawah SPRM Sarawak,” jelas beliau ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Sarawak di konti Sarawak FM, Kuching, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Hasbilah turut menggalakkan syarikat-syarikat tempatan menyertai insentif potongan cukai antirasuah yang diperkenalkan kerajaan.
Di bawah insentif khas itu, syarikat layak menuntut potongan cukai bagi penganjuran program atau latihan berkaitan integriti dan antirasuah.
“Selesai program, semua kos yang terlibat akan diangkat untuk kelulusan penaja mendapatkan potongan cukai,” jelasnya.
Sejak insentif tersebut diperkenalkan pada tahun 2023, tiga syarikat di Sarawak telah menyertai program berkenaan.