Rangkaian telekomunikasi di Negeri Sembilan tahap memuaskan – Menteri Komunikasi

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam lawatan ke Pusat Pemantauan Rangkaian MCMC di Seremban / Foto RTM

SEREMBAN, 22 Julai – Tahap kesiapsiagaan rangkaian telekomunikasi di Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 berada pada tahap memuaskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebanyakan pusat mengundi dijangka menerima liputan internet yang stabil.
  • Arahan kepada syarikat telekomunikasi tambah baik liputan di lokasi tertentu; kerja penambahbaikan dijadual disiapkan menjelang Jumaat.
  • Telco dan MCMC diarahkan meneliti liputan lemah laluan antara penempatan FELDA dengan pekan, penting untuk keselamatan kecemasan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kebanyakan pusat mengundi dijangka menerima liputan internet yang stabil.

Pada masa sama beliau turut meminta beberapa syarikat telekomunikasi untuk menambah baik liputan di beberapa lokasi sebelum hari pengundian nanti.

“Ada beberapa syarikat telekomunikasi perlu menambah baik liputan internet di sejumlah pusat mengundi.

“Kerja-kerja penambahbaikan dijadual dilaksanakan menjelang pada Jumaat ini. Cuma ada satu syarikat telekomunikasi memerlukan tempoh masa lebih sedikit mungkin disebabkan jumlah lokasinya yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemantauan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di sini.

Sementara itu, Datuk Seri Fahmi turut mengarahkan syarikat telekomunikasi bersama MCMC untuk meneliti isu liputan internet yang lemah di laluan antara kawasan penempatan khususnya jalan menghubungkan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan
pekan berhampiran.

“Capaian internet di laluan tersebut penting bagi memastikan pengguna dapat saling berhubung terutama ketika berlaku kecemasan,” ujar beliau lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.