
IPOH, 22 Jun – Pengumuman kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai depan disambut baik oleh rakyat di negeri Perak.
- Rakyat Perak sambut baik, lihat sebagai usaha memperkukuh ketelusan dan memastikan subsidi sampai kepada golongan yang layak.
- Subsidi diesel berasaskan MyKad dianggap pendekatan sistematik mengurangkan ketirisan dan memastikan agihan lebih tepat.
- Penggunaan MyKad membolehkan kerajaan memantau serta mengurus agihan subsidi dengan lebih berkesan dan telus.
- Langkah ini turut membolehkan manfaat disalurkan melalui eKasih dan Sumbangan Tunai Rahmah kepada golongan memerlukan.
Mereka menyifatkan langkah itu sebagai usaha memperkukuh ketelusan dan memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Rata-rata penduduk di Ipoh berpendapat pelaksanaan mekanisme baharu itu dapat mengurangkan ketirisan subsidi yang sebelum ini didakwa dinikmati oleh pihak tidak sepatutnya.
Pelaksanaan subsidi diesel berasaskan MyKad dilihat sebagai pendekatan lebih sistematik dalam mengawal pengagihan bantuan kerajaan.
Muhamad Izuan Aziz Nordin berkata penggunaan MyKad dalam sistem subsidi membolehkan kerajaan mengawal serta memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.
“Dalam program RON95, kita telah melihat kejayaan pelaksanaan BUDI95 yang menggunakan MyKad sebagai mekanisme kawalan.
“Melalui pendekatan ini, kerajaan dapat memantau dan mengurus agihan subsidi dengan lebih berkesan.
“Penggunaan sistem BUDI Diesel berasaskan MyKad juga membolehkan kerajaan melaksanakan kawalan yang lebih telus dan tepat.
“Sekali gus memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan menggunakan subsidi tersebut mendapat manfaatnya,” katanya kepada RTM.
Sementara itu, Mohd Tahir Mohd Ramli menyifatkan pelaksanaan tersebut sebagai langkah positif yang mengembalikan manfaat kepada rakyat.
“Apabila subsidi diesel sebelum ini diselaraskan, kita dapat melihat manfaatnya disalurkan semula kepada rakyat melalui bantuan seperti eKasih dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Dengan pendekatan ini, faedah dan kebajikan yang diperuntukkan kerajaan dapat dinikmati oleh rakyat secara lebih menyeluruh, tanpa berlakunya ketirisan,”katanya kepada RTM.
Bagi Mohd Aiza Ayub pula, pengumuman itu diyakini mampu membantu menstabilkan harga barangan secara berperingkat.
“Saya berpandangan keadaan itu amat baik kerana pada ketika ini harga barangan masih belum stabil sepenuhnya.
“Namun, dengan pengumuman tersebut, diharapkan harga barangan akan kembali stabil secara berperingkat.
“Ini sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menampung kos kehidupan dengan lebih baik, bukan sahaja pada masa kini tetapi juga untuk masa akan datang,” katanya kepada pemberita.
Secara keseluruhan, rakyat melihat inisiatif penurunan harga diesel bersubsidi ini sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menambah baik sistem subsidi negara, di samping memberi kesan positif terhadap kos sara hidup dan kestabilan ekonomi isi rumah.