KPKM perkukuh intervensi keterjaminan makanan hadapi kesan konflik Asia Barat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pelbagai intervensi jangka pendek, sederhana dan panjang dilakukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil walaupun berdepan krisis Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian sementara SST bagi beberapa jenis baja sehingga penghujung tahun depan.
  • Merangka Akta Keterjaminan Makanan Negara untuk jaminan bekalan, kestabilan harga, kurangkan kebergantungan import dan akses makanan sihat.
  • Mewujudkan stok penimbal baja negara yang lebih mampan serta mengisytiharkan zon pengeluaran dan tanah gazet melalui kerjasama perancangan guna tanah.
  • Tingkatkan insentif pembajakan dan bantuan BUDI; fokus sederhana kepada produktiviti serta perluasan program Kebuniti dan Kebun Dapur Isi Rumah.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata antara langkah segera yang diambil termasuk pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi beberapa jenis baja pertanian hingga penghujung tahun depan.

Jelasnya, bagi langkah jangka panjang ialah merangka perundangan khusus seperti Akta Keterjaminan Makanan Negara untuk memastikan jaminan bekalan makanan berterusan, kestabilan harga, pengurangan kebergantungan import serta akses kepada makanan yang sihat dan berkhasiat.

“Cadangan mewujudkan sistem stok penimbal baja negara yang lebih mampan dan sistematik bagi menghadapi krisis masa hadapan turut dilakukan.

Selain mengisytiharkan zon pengeluaran makanan negara dan tanah gazet melalui kolaborasi strategik bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi perancangan guna tanah kawasan sumber makanan negara,” tambahnya.

Selain itu, insentif pembajakan pesawah dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, manakala bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut ditingkatkan kepada RM400 sebulan bermula April lalu.

Bagi tempoh sederhana, kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti kawasan pengeluaran makanan sedia ada serta memperluas program sara diri rakyat seperti Kebuniti dan Kebun Dapur Isi Rumah.

“Langkah holistik itu penting bagi memastikan bekalan makanan negara terus terjamin serta mampu menghadapi sebarang gangguan akibat krisis global,” katanya di Dewan Rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.