
PUTRAJAYA, 22 Jun – Malaysia dan Bangladesh bersetuju untuk meneruskan rundingan ke arah memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebagai usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan merancakkan lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
- Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa, menegaskan komitmen memperkukuh hubungan Bangladesh-Malaysia.
- Setuju meningkatkan penglibatan melalui mekanisme sedia ada termasuk Suruhanjaya Bersama dan rundingan dua hala antara Menteri-Menteri Luar.
- Malaysia digalakkan melabur di Bangladesh, terutamanya sektor ICT, tenaga, infrastruktur, industri halal, ekonomi digital dan semikonduktor.
Perkara itu dimaklumkan dalam sidang media bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke Malaysia di Putrajaya hari ini.
Menurut Tarique Rahman, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa, selain menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan sedia ada.
“Kami telah membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa. Hari ini, kami menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh hubungan Bangladesh-Malaysia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan penglibatan melalui mekanisme sedia ada termasuk Suruhanjaya Bersama serta rundingan dua hala antara Menteri-Menteri Luar.
Pada masa sama, kedua-dua pihak turut mengalu-alukan peningkatan perdagangan dua hala yang disifatkan sebagai petanda positif kepada hubungan ekonomi yang semakin berkembang.
Dalam pada itu, Tarique Rahman berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pelaburan ke Bangladesh, khususnya dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tenaga, infrastruktur, industri halal, ekonomi digital serta industri semikonduktor.
“Kami sedang membina persekitaran mesra perniagaan dan mewujudkan peluang baharu untuk pelabur. Saya melihat potensi besar pelaburan Malaysia ke Bangladesh dan mengalu-alukan syarikat Malaysia untuk meneroka peluang di negara kami,” katanya.
Rundingan FTA ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan hubungan perdagangan, selain membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik antara Kuala Lumpur dan Dhaka pada masa hadapan.