KUALA LUMPUR, 23 April- Setiap keputusan dan dasar yang dilaksana kerajaan adalah berdasarkan prinsip dengan meletakkan kepentingan rakyat serta negara sebagai keutamaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, buktinya dapat dilihat menerusi pelaksanaan subsidi bersasar dan kajian skim baharu gaji penjawat awam.
Jelasnya, langkah itu bagi memastikan kedudukan fiskal yang lebih baik dan mengurangkan bebanan kewangan negara.
"Sebarang keputusan oleh pihak kerajaan, ia tidak akan 'lebih teruk berbanding sebelum ini'. (Misalnya) berkenaan dengan subsidi, kita dapat tahu, subsidi yang diberikan selama ini adalah secara pukal.
"Contohnya dalam isu subsidi diesel, RM2 bilion liter disonglap tidak tahu ke mana. Diesel sepatutnya dapat digunakan oleh rakyat tapi dijual ke orang asing.
"(Jadi) kita perlu tepat untuk memberi subsidi... sama macam elektrik, kita semua dapat kecuali golongan T20 dan keadilan itu meletakkan sesuatu pada tempatnya,” katanya pada sesi soal jawab dalam Program Taklimat Isu Semasa "Kedudukan Fiskal dan Langkah Kerajaan Menangani isu Kewangan Negara di ibu negara hari ini.
Selain itu, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan kini sedang giat meneliti keperluan mengkaji skim baharu gaji penjawat awam kerana ia sepatutnya dibuat 10 tahun lepas.
“Ada keperluan kita teliti perbincangan gaji (penjawat awam) dan ia sepatutnya berlaku 10 tahun yang lalu...banyak keputusan perlu dibuat dan kita serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk uruskan…sebab kalau kita tak ubah haluan, masa depan lebih suram,” katanya.