SUMATERA BARAT, 1 Disember - Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan seorang rakyat Malaysia Asrul Nizam Apridwson, 30 tahun disahkan hilang selepas kenderaan yang dinaikinya bersama tujuh warga Indonesia dihanyutkan tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November 2025.
Empat daripada penumpang warga Indonesia berjaya dikesan, manakala usaha mencari rakyat Malaysia itu dan tiga lagi warga Indonesia masih diteruskan.
“Ibu bapa mangsa kini berada di Padan, dan Konsulat Jeneral sedang menyalurkan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga sepanjang tempoh mereka di sana,” menurut kenyataan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.
Dalam perkembangan berasingan, Konsulat Jeneral turut menerima laporan mengenai tiga pelancong Malaysia yang gagal dihubungi sejak 27 November 2025, dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 63 dan 64 tahun, dipercayai berada di Aceh atau Sumatera Utara. Konsulat Jeneral sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengesan lokasi mereka dan memberikan bantuan sewajarnya.
"Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh dinasihatkan supaya berwaspada, mengikuti perkembangan terkini, serta mematuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan tersebut.
Keluarga rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran menghubungi ahli keluarga di Indonesia digalakkan segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bagi mendapatkan bantuan, khususnya memandangkan ramalan cuaca buruk yang dijangka berterusan di rantau tersebut.