ARAU, 28 Disember -Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegur sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) susulan pergolakan politik yang berlaku antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri berkenaan.
Titah Baginda, pergolakan politik yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, serta penggantungan keahlian tiga ADUN PAS, telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat.
Keadaan itu, menurut Baginda, turut mengundang pelbagai tohmahan terhadap kepimpinan kedua-dua parti bawah Perikatan Nasional (PN), sekali gus memberi tempias kepada pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Perlis.
Sehubungan itu, Tuanku Syed Sirajuddin berharap pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis ke-9 dapat meredakan ketegangan politik yang berlaku ketika ini.
“Bermacam-macam spekulasi berlaku dan macam-macam tohmahan serta perkara yang tidak diingini disebut. Saya harap selepas ini, semua ini dapat dihentikan demi kebaikan negeri.
Kita mahu negeri ini mara ke hadapan. Bukan mudah untuk saya melantik seorang Menteri Besar yang baharu dalam keadaan seperti ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau.
Istiadat berkenaan turut dihadiri empat ADUN Bersatu, lima ADUN PAS serta seorang ADUN Pakatan Harapan.
Manakala dua lagi ADUN daripada Bersatu dan PAS tidak dapat hadir kerana berada di Sabah dan Mekah.