fb fb fb fb fb

Radio teraju utama sampaikan berita komprehensif, termasuk perubahan iklim

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Faisal Md Noor

SEREMBAN, 13 Februari- Teknologi gelombang pada siaran radio menjadikan medium tertua itu kekal relevan sehingga hari ini.

Pensyarah Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Faisal Md Noor berpendapat, radio menjadi teraju dalam penyampaian berita komprehensif termasuk informasi mengenai perubahan iklim yang perlu disampaikan dalam waktu yang pantas.

Beliau berkata, keupayaan pendigitalan pada zaman kini serta kecanggihan teknologi meningkatkan kemampuan fungsi radio.

"Melalui radio juga kita mendapat perkongsian daripada radio antarabangsa apabila kita mendapat tahu mengenai satu pencairan kutub utara yang semakin serius dan paras air laut yg semakin menaik dapat dikongsi bersama menerusi radio.

"Radio itu capaiannya sangat pantas, kita boleh dapat maklumat di radio antarabangsa itu di sini untuk dijadikan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti itu.

"Saya katakan tema kali ini Radio dan Perubahan Iklim sangat sinonim dengan apa yang kita hadapi masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban.

Beliau turut berpandangan, RTM berperanan sebagai peneraju kepada pengguna medium radio yang mampu memberi contoh terbaik kepada pihak lain dalam industri sama untuk memberi input efisien kepada masyarakat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE