fb fb fb fb fb

Putera Monaco, Putera Albert II tiba di Malaysia bagi lawatan kerja tiga hari

FOTO FB BERNAMA

SUBANG JAYA, 26 November- Putera Monaco, Putera Albert II tiba di Malaysia bagi lawatan kerja sulungnya bermula hari ini sehingga 29 November. 

Pesawat khas membawa Putera Albert II mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi.

Ketibaan delegasi Putera Monaco disambut Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar. 

Sejurus tiba, Putera Albert II melintasi kawalan hormat setempat Batalion Pertama Rejimen Renjer DiRaja terdiri daripada 2 pegawai dan 24 anggota.  

Putera Albert II bersama Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Monaco, Isabelle Berro-Amadeï serta pegawai-pegawai kanan dijadual merasmikan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Malaysia petang nanti sebelum mengadakan lawatan ke Muzium Kesenian Islam Malaysia. 

Esok, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Putera Albert II bersama delegasi di Istana Negara.

Sepanjang lawatannya, Putera Albert II akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh program-program pemuliharaan hidupan liar di Malaysia dan ia diharap dapat membuka ruang kerjasama antara Malaysia dengan Yayasan Putera Albert II Monaco.

Lawatan Putera Albert II bakal memberi peluang terbaik bagi Malaysia dan Monaco memperkukuh hubungan kedua-dua negara, dengan pelbagai prospek kerjasama masa hadapan yang disokong di peringkat tertinggi kepimpinan negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD