KUALA LUMPUR, 16 Mei- Seorang wanita berusia 22 tahun berasal dari Sabah dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Phnom Penh, Kemboja.
Mangsa difahamkan diperdaya seorang rakan untuk bercuti di luar negara, sebelum dipaksa bekerja sebagai 'scammer' dan dilarang untuk berkomunikasi secara bebas.
Pendedahan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.
“Adik perempuan kepada pengadu ini telah dipaksa bekerja tanpa rehat, tidak dibenarkan makan secukupnya dan kini dalam keadaan amat tertekan. Dia hanya sempat memaklumkan kedudukannya secara kasar berdekatan Bethune Cambodia China First Hospital,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara.
Menurut Hishamuddin, mangsa yang bekerja di Klang sebagai juruteknik telefon, dipujuk oleh seorang kenalan lama yang dipercayai ejen sindiket.
Wanita itu difahamkan pernah ditahan di Macau atas penglibatan penipuan dalam talian.
Dimaklumkan, wanita dari Sabah itu juga bersendirian dan disertai seorang lagi individu lelaki yang dipercayai menjadi mangsa sindiket sama.
Sepanjang berada di Phnom Penh, mangsa hanya dibenarkan menghubungi ahli keluarga dengan kehadiran pihak sindiket.
Bagaimanapun, pengadu yang ingin dikenali sebagai Meena, 30, berjaya berkomunikasi dengan adiknya secara rahsia menggunakan bahasa Bajau, yang tidak difahami oleh pengawal sindiket.
Menerusi komunikasi tersebut, mangsa mendedahkan bahawa dia tidak dibenarkan tidur selama 24 jam, mengalami kelaparan serta sentiasa dikawal ketat.
Mangsa turut menyatakan hasrat untuk segera pulang kerana tidak tahan lagi dengan keadaan tersebut.
“Saya tak nak ada masalah dengan siapa-siapa. Saya nak adik saya balik je… Saya merayu sangat, bagi sesiapa yang tengok, pulangkan adik saya.”
MHO turut menyeru khususnya Bahagian D3, Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), dan ASEANAPOL untuk melaksanakan operasi menyeluruh menyelamatkan semua mangsa rakyat Malaysia yang dipercayai masih dikurung di pusat sindiket.