Pukul isteri : Suspek ditahan reman tujuh hari

Datuk Adzli Abu Shah

ALOR SETAR, 29 April – Suspek yang didakwa memukul isterinya yang menyebabkan keguguran ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 Mei depan untuk membantu siasatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek menyasarkan penjawat awam wanita sebagai modus operandi dan mempunyai empat rekod jenayah kebanyakannya melibatkan kecederaan terhadap pasangan.
  • Tiga kes masih dalam perbicaraan termasuk dakwaan di bawah Seksyen 325 berkaitan mendatangkan kecederaan parah.
  • Ketika ditahan ditemui sebatang besi dan penyangkut baju plastik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa serta sebuah kereta mewah dirampas.
  • Mangsa mengalami lebam seluruh badan, patah rusuk kiri kanan, kecederaan tulang belakang dan mengakibatkan keguguran.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 43 tahun itu menyasarkan penjawat awam wanita sebagai modus operandi untuk menyara kehidupan dan mempunyai empat rekod jenayah yang kebanyakan kes berkaitan mendatangkan kecederaan.

“Suspek ini mempunyai empat rekod jenayah, dan kesemua rekod tersebut masih dalam perbicaraan. Kebanyakan kes melibatkan jenayah terhadap isteri dan juga teman wanitanya.

“Tiga daripadanya masih dalam proses, termasuk kes memukul isteri bawah Seksyen 325, iaitu mendatangkan kecederaan parah tanpa menggunakan senjata.

“Kecederaan yang dialami boleh menyebabkan patah anggota badan atau kehilangan pendengaran. Kes ini berlaku pada 2025 dan kini masih dalam perbicaraan di Alor Setar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini.

Suspek ditahan pada Selasa di sebuah inap desa di kawasan Alor setar turut menemukan sebatang besi dan satu penyangkut baju plastik yang dipercayai digunakan suspek bagi mencederakan mangsa selain merampas sebuah kereta mewah.

Suspek ditahan susulan laporan yang dibuat abang mangsa pada 23 April dan mangsa sendiri pada 26 April. Mangsa mengalami lebam di seluruh badan, patah rusuk bahagian kiri, kanan dan tulang belakang serta keguguran.

Polis turut mengesahkan bahawa suspek memrupakan individu sama terlibat dengan kes pukul isteri, iaitu Jahidah Nordin sehingga koma di Larkin, Johor pada 2021.

Menurut rekod, suspek lelaki berkenaan telah berkahwin sebanyak sembilan kali dan kesemua isteri serta bekas isterinya bekerja sebagai penjawat awam.

Selain itu, suspek yang mempunyai 11 anak dan tidak mempunyai pekerjaan tetap dikenal pasti sebagai seorang yang panas baran.