fb fb fb fb fb

PRU15: Kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu terbatal

KUALA TERENGGANU, 27 Jun- Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu (P.036) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Responden diperintah membayar kos RM50,000 kepada pempetisyen dan membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari.

Ia bagi membolehkan rayuan dan permohonan rasmi penggantungan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Responden diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal manakala calon Barisan Nasional (BN) diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Amin Othman, Norhazira Abu Haiyan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arif.

"Hakim pilihan raya telah membuat dapatan bahawasanya pemberian bantuan walaupun atas asas ia adalah program rasmi kerajaan negeri yang telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), seterusnya telah menjadi enakmen adalah rasuah sekiranya dibuat dalam tempoh waktu berkempen," kata Hafarizam ketika ditemui pemberita hari ini di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.


(Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bersama barisan peguam serta jentera BN
ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu)

Terdahulu, BN Terengganu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Petisyen itu difailkan atas dakwaan PAS memberi sogokan kepada pengundi dengan mengagihkan wang bantuan melalui beberapa insentif.

Pada PRU15 lalu, Datuk Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala terengganu selepas memperoleh 63,016 undi.

Sementara itu, di mahkamah sama, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani menolak petisyen yang difailkan calon BN untuk membatalkan kemenangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada PRU15 lalu.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang.

Media Baharu