(Fail BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 31 Mei- Kenaikan harga barangan makanan dan kos sara hidup antara sebab utama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditangguhkan.
Dalam temu bual ekslusif bersama Nikkei yang dikeluarkan hari ini, Perdana Menteri dilaporkan berdepan tekanan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal disebalik spekulasi PRU15 yang dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini.
“Kita perlu tunggu masa yang sesuai (untuk memanggil pilihan raya)." Kita kini berdepan tempoh masa peningkatan inflasi dengan kenaikan harga… adakah ini masa yang sesuai, soal Perdana Menteri dalam temu bual di luar persidangan Nikkei's Future of Asia di Tokyo minggu lalu.
Ketika ini pemimpin dalam UMNO meminta pilihan raya disegerakan namun Perdana Menteri bertegas bahawa pilihan raya tidak sepatutnya diadakan sehingga kerajaan dapat mengekang peningkatan inflasi yang turut didorong kesan global, perang di Ukraine.
Bank Negara menjangkakan kesan inflasi antara purata 2.2% sehingga 3.2% pada tahun ini.
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan Ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-27
Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei pada 26 Mei lalu/BERNAMA)
Apabila ditanya mengenai tekanan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal, Ismail Sabri berkata, “pilihan raya tidak boleh ditangguhkan lebih lama daripada tempoh ditetapkan dalam perlembagaan, tetapi untuk menyegerakan (tarikh pilihan raya) kita perlu melihat situasi semasa.”
“Insya-Allah saya akan umumkan pada masa yang sesuai,” kata Perdana Menteri apabila ditanya mengenai tarikh pilihan raya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa beliau adalah 'ahli parti (UMNO)' dan perlu mematuhi keputusan kabinet serta UMNO dan mengikut perlembagaan, "Kabinet mesti meluluskan keputusan untuk menasihati raja-raja bagi pembubaran Parlimen," katanya.
Beliau sekali lagi mengulangi, bahawa UMNO perlu melihat situasi semasa berhubung kenaikan harga barangan makanan dan kos sara hidup sebelum membuat keputusan menyegerakan pilihan raya.
Berita berkaitan
PRS sedia buat persiapan hadapi PRU15
UMNO Kelantan sokong kepimpinan Ismail Sabri, sedia hadapi PRU15
Menteri, Timbalan Menteri UMNO sokong Ismail Sabri calon PM PRU15
PRU15, tunggu sehingga tahap kesihatan awam lebih stabil - KJ