JOHOR BAHRU, 31 Januari - Kira-kira lebih 30,000 rakyat Johor memenuhi laluan dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru ke Hangar Diraja di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi menyaksikan keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang Dipertuan Agong 17 ke Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Orang ramai mula hadir di sepanjang laluan berkenaan sejak pukul 6.30 pagi bagi bersama-sama memberi lambaian kasih kepada Sultan Johor.
Tinjauan RTM mendapati, pergerakan konvoi diraja tiba di Jalan Skudai berhadapan Kampung Pasir di sini diiiringi kawalan keselamatan pada pukul 8 pagi.
"Sangat gembira sebab dah lama tunggu momen seperti ini. Baginda dulu kan pernah tolak untuk jadi Agong kan, jadi ini momen terindah. Semoga baginda sihat lagi maju untuk kita punya Malaysia," kata Sit Hasmah Rahmat seorang suri rumah tangga.
"Patik amat gembira Sultan kita akan menjadi Agong hari ini patik harap Johor akan menjadi lebih maju dan mantap dalam semua perkara," kata K. Vadivelu.
"Alhamdulillah rasa teruja sebab saya berasal dari Sabah jadi suami saya orang Johor, jadi ini pertama kali saya dapat bersalaman dengan Sultan jadi saya gembira sangat," kata Dewi Pengiran Samsudin
"Semoga Sultan bakal yang di-Pertuan Agong dapat menerajui negara dengan sebaik-baiknya dan sentiasa dilindungi Allah SWT," kata Amsah Yusof.
Baginda juga sempat melambaikan tangan sebagai tanda menghargai rakyatnya di sini.
Rakyat yang setia menunggu sangat teruja dengan lantikan berkenaan dan ia merupakan satu detik bersejarah untuk diingati.
Perisytiharan Sultan Ibrahim memegang jawatan mengulangi detik bersejarah paduka ayahanda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 1984 hingga 1989.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.