fb fb fb fb fb

Internet adalah salah satu hak asasi manusia - Annuar Musa

(Foto BERNAMA)

SINGAPURA, 31 Mei- Internet merupakan salah satu hak asasi manusia yang tidak boleh dinafikan berdasarkan kepentingannya kepada orang ramai.

Justeru, tindakan kerajaan dalam mewujudkan Rangka Tindakan (Blueprint) seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) merupakan usaha dalam memastikan setiap rakyat dari bandar atau luar bandar mendapat perkhidmatan internet yang terbaik.

Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa, kesemua Rangka Tindakan berkenaan membawa perkembangan yang positif dalam meningkatkan kualiti jalur lebar.

"Rangka Tindakan adalah sangat penting bagi kerajaan dalam melaksanakan apa yang telah dirancang dalam memastikan rakyat menerima hak mereka. Internet adalah hak asasi manusia selain makanan dan pakaian. Hidup tidak lengkap sekiranya tiada jalinan internet yang sempurna," kata Annuar di Asia Tech X Singapore (ATxSG) 2022 sebagai anggota panel di bawah tajuk "Teknologi, Masyarakat dan Peranan Dasar".


(Foto KKOM)

Tan Sri Annuar juga turut menyentuh berkenaan keberkesanan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang memperkasa kegiatan ekonomi digital khususnya di luar bandar.

Tambahnya, dalam mewujudkan ekosistem digital yang baik, sektor awam perlu bekerjasama dengan sektor swasta.

"Kerjasama di antara kerajaan dengan pihak swasta akan membawa ekosistem yang kondusif dalam pertumbuhan dan kemajuan ekonomi digital," tambahnya.

Anggota panel yang turut bersama beliau ialah Menteri Keusahawanan dan Teknologi Maklumat Estonia, Andres Sutt, Menteri Komunikasi dan Informatik Indonesia, Johnny G Plate dan Ketua Eksekutif Forum Kerjasama Peraturan Digital United Kingdom, Gill Whitehead.

ATxSG merupakan acara teknologi terbesar dianjurkan di Singapura yang berlangsung selama 4 hari hingga 3 Jun 2022, serta menghimpunkan menteri komunikasi dari seluruh negara.

Media Baharu