CYBERJAYA, 6 November- Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bulan lepas, khususnya daripada aspek keselamatan dan pengurusan, telah mendapat pengiktirafan daripada pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Presiden AS itu turut menyatakan hasrat beliau untuk bertemu sendiri dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi menyampaikan penghargaannya secara peribadi.
Beliau berkata Trump menzahirkan penghargaan tersebut semasa lawatan rasmi beliau ke Malaysia bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
“Saya (masih) ingat, Presiden Trump minta kebenaran hendak berjumpa Ketua Polis Negara untuk menyatakan penghargaan kerana tahap pasukan keselamatan kita yang sangat membanggakan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata kejayaan Malaysia menguruskan lawatan pemimpin dunia jelas menarik perhatian antarabangsa.
“Tadi, saya ada mesyuarat di pejabat dengan satu daripada kumpulan pelaburan terbesar dunia dari New York, mereka sudah mempunyai beberapa pelaburan awal di sini namun kini mereka merasakan dengan perhatian global dan kejayaan pelbagai pasukan kita, mereka benar-benar kagum bukan sahaja dengan infrastruktur kita tetapi juga dengan keupayaan kita,” katanya. -BERNAMA