MUADZAM SHAH, 6 November - Sebanyak 1.37 juta ekor ayam saga, iaitu kacukan baka ayam kampung baharu berjaya dikeluarkan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Baka itu dihasilkan menerusi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 2008.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MARDI komited untuk memperluaskan pengeluaran baka ayam berkenaan melalui ladang pembaka di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta menjamin bekalan ternakan itu berterusan.
"Kita menggambarkan bahawa usaha MARDI dengan ahli-ahli sains tempatan, pakar tempatan kita boleh melahirkan benih sendiri. Kita berbangga atas pengeluaran ayam saga ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Penyelidikan Ayam Saga MARDI di MARDI Muadzam Shah, Pahang.
Ayam saga merupakan baka silang ayam kampung dari Johor dan Kedah yang dihasilkan tanpa melibatkan pengacukan dengan baka luar negara.
Haiwan itu mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih cepat dan kadar peneluran yang lebih tinggi berbanding ayam kampung asli.
Baka ayam saga mampu mencapai berat minimum 1.5 kilogram pada usia yang singkat sekitar 12 minggu, manakala kadar pengeluaran telur mencapai 60 peratus dengan purata saiz telur melebihi 40 gram.
Harga pasarannya pula antara RM15 hingga RM25 sekilogram.
Setakat ini, tujuh ladang pembaka dan rakan strategik di lima zon dikenal pasti dan dilibatkan dalam pengeluaran dan penilaian prestasi ayam saga.
Penternak boleh mendapatkan benih anak ayam saga di ladang pembaka di Selangor, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak.
MARDI turut bercadang untuk melantik ladang pembaka di Pulau Tioman bagi menampung keperluan nelayan yang tidak dapat ke laut ketika musim monsun.