fb fb fb fb fb

Selangor perkukuh industri semikonduktor, sasar dana lebih RM100 juta

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menandatangani plak sebagai simbolik Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Coplace 9 Cyberjaya, hari ini/BERNAMA

CYBERJAYA, 6 November- Selangor terus memperkukuh kedudukan sebagai hab utama teknologi negara menerusi pengumuman penubuhan Dana Semikonduktor Selangor atau Ehsan Capital, hari ini.

Pelancaran itu sebagai satu langkah strategik bagi melonjakkan pembangunan industri semikonduktor tempatan.

Dana berkenaan diwujudkan melalui kerjasama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) serta Artem Venture Fund, dengan sasaran dana melebihi RM100 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Ehsan Capital akan mula beroperasi bulan ini dan menumpukan pelaburan kepada sekurang-kurangnya tujuh syarikat pemula niaga berpotensi tinggi dalam bidang reka bentuk serta teknologi semikonduktor tempatan.

"Penubuhan dana ini bukan sekadar satu instrumen kewangan, tetapi merupakan komitmen jangka panjang kerajaan negeri untuk melahirkan pakar tempatan dalam penyelidikan, pembangunan dan reka cipta teknologi agar Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta inovasi di rantau ini," katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Datuk Seri Amirudin, sektor semikonduktor merupakan antara tumpuan utama dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) ke arah menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.

Dengan sokongan Kerajaan MADANI melalui inisiatif ARM Design Token, syarikat semikonduktor tempatan dijangka mampu berkembang pesat dan disenaraikan di bursa saham dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

"Langkah ini turut diyakini meningkatkan keyakinan pelabur serta menarik minat komuniti modal teroka terhadap ekosistem semikonduktor negara" kata Datuk Seri Amirudin.

Kejayaan IC Design Park 1 di Puchong menjadi pemangkin kepada minat syarikat global, manakala pelancaran fasa kedua di CoPlace 9, Cyberjaya dijangka memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama industri semikonduktor negara.

Fasa baharu tersebut akan menempatkan Pusat Ujian Cip Termaju (Advanced Chip Testing Centre) dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), fasiliti bertaraf dunia pertama di rantau ini bagi ujian dan pembangunan cip berteknologi tinggi.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan Dasar Pembangunan Ekonomi Tempatan (LED) yang mensyaratkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan bagi setiap pelaburan pusat data baharu, agar manfaat ekonomi turut dinikmati syarikat dan tenaga kerja tempatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM