fb fb fb fb fb

PTP berpotensi disenarai antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)

PUTRAJAYA, 6 November - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor berpotensi untuk disenaraikan sebagai antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, potensi ini didorong oleh keputusan syarikat logistik Denmark, Maersk yang memilih PTP sebagai pelabuhan hab utama mereka untuk pemindahan kargo di Asia.

"Ranking PTP memang sudah semakin meningkat. Seperti yang saya sebutkan, pertumbuhan kontena di PTP menunjukkan kadar dua angka. Ini bermakna setiap bulan, pertumbuhan mereka melebihi 10%.

"Maersk telah menjadikan PTP sebagai hab global mereka. PTP kini merupakan pelabuhan pemindahan utama bagi Maersk Line di seluruh dunia, di mana semua kapal Maersk Line melakukan pertukaran di sini.

"Ini menjadikan PTP sebagai hab pemindahan yang penting bagi syarikat tersebut yang akan menyumbang kepada pertumbuhan PTP dan kita yakin pelabuhan ini akan terus berkembang dan berpotensi mencapai kedudukan sepuluh terbaik dalam waktu terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulan November dan Majlis Cahaya Kasih MADANI Kementerian Pengangkutan Tahun 2025 di sini, hari ini.

PTP baru-baru ini diiktiraf oleh Alphaliner sebagai salah satu pelabuhan yang berkembang paling pesat di dunia, mencatat kadar pertumbuhan 15.4 peratus pada separuh pertama 2025.

Pencapaian ini menunjukkan bahawa selain Pelabuhan Klang yang menembusi kedudukan 10 teratas dunia pada 2024, PTP juga memainkan peranan penting dalam industri perkapalan global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab maritim utama.

MASNIZA AWANG KECHIK