KUALA LUMPUR, 6 November – Kerajaan memperkenalkan Program Tindakan Peralihan Dipercepatkan Suria (Solar ATAP) sebagai kesinambungan kepada kejayaan Pemeteran Tenaga Bersih (NETR) 3.0 yang akan berakhir pada Jun 2025.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata program Solar ATAP memberi tumpuan kepada penggalakan penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) daripada sumber solar di bumbung dengan pendekatan yang lebih meluas dan berkesan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir/RTM
“Pelaksanaan Solar ATAP dijangka menjadi pemacu utama dalam menyokong sasaran negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu dalam bekalan elektrik menjelang tahun 2050, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berhubung cadangan kementerian untuk meneruskan inisiatif NEM 3.0 di Dewan Rakyat.
Sejak diperkenalkan pada 2021, program Solar ATAP berjaya meningkatkan jumlah pemasangan sistem solar bumbung dalam sektor kediaman, komersial dan industri.
Sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 2,500 Megawatt (MW) kapasiti kuota solar di bawah NEM 3.0 telah diberikan kepada pengguna menerusi tiga kategori utama iaitu NEM Rakyat, NEM GoMEN, dan NOVA.
Selain itu, kerajaan turut mengambil maklum usaha untuk mengintegrasikan teknologi solar fotovolta dengan pembangunan ekonomi desa, termasuk penggunaan tanah kerajaan yang terbiar bagi tujuan pembangunan tenaga boleh baharu.
“Kerajaan mengalu-alukan penglibatan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan pihak swasta bagi menilai potensi pembangunan projek TBB seperti Corporate Renewable Energy Supply (CREs), atau dengan memberikan inisiatif yang bersesuaian kepada syarikat pembida di bawah program LSS,” jelasnya lagi.