fb fb fb fb fb

13,000 ekor lembu disuntik vaksin elak penyakit kulit kental

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM100,000 pembekalan vaksin untuk lembu bagi mengelak penyakit kulit kental (LSD) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Pengarah JPV Terengganu Dr Anun Man berkata, sejak Oktober lepas hingga April tahun ini, hampir 13,000 ekor lembu daripada 695 premis di negeri ini telah menerima vaksin LSD oleh JPV.

Tambah Dr Anun, kesemua binatang tersebut turut bebas daripada jangkitan penyakit kuku dan mulut (FMD) selain penyakit kulit kental LSD.

"Hasil pemantauan, kami telah telah mengenal pasti 50 kes positif LSD daripada 25 premis ternakan dan melupuskan 43 ekor lembu yang positif penyakit itu tahun lepas.

"Hasil program pemvaksinan dan pemantauan berterusan, JPV Terengganu memberi jaminan semua ternakan lembu yang diperiksa adalah selamat untuk pasaran di negeri ini terutama menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

"Kami akan meneruskan program pemvaksinan ini dengan tumpuan di kawasan 'panas' yang menjadi risiko utama jangkitan penyakit kepada penternak berdaftar di seluruh Terengganu.

"Daripada bancian, Terengganu mempunyai hampir 5,000 penternak dengan populasi ternakan lembu 85,000 ekor," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya lagi, pemantauan rapi juga dibuat terhadap lembu yang diimport bagi mengelak wabak berkenaan merebak ke negara ini.

Menurutnya, lembu yang dibawa masuk dari Perak, Kelantan dan Pahang serta dari Thailand dikuarantin terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk bagi memastikan haiwan ternakan itu bebas daripada wabak FMD dan SLR.

Ketika ini, terdapat 121 jenis penyakit yang wajib dilaporkan kepada JPV dan ia telah diwartakan di bawah Seksyen 2 Akta Binatang 1953 (Akta 647) supaya langkah pencegahan dapat diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jabatan itu.

Untuk rekod setakat ini 60 ekor lembu disahkan dijangkiti pentakit LSD di Terengganu sejak wabak itu dikesan pada Mei tahun lepas.

Media Baharu