fb fb fb fb fb

Kempen kibar Jalur Gemilang diawalkan - Datuk Fahmi Fadzil

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 November- Siri penerangan dan pelaksanaan kempen mengibarkan Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) akan diawalkan dari jadual asal supaya ia tidak sekadar untuk sambutan bulan Kebangsaan semata-mata.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu sebagai langkah untuk mengelak kesilapan memaparkan atau memasang Jalur Gemilang berulang pada masa hadapan.

"Di peringkat komuniti melalui JAPEN, memang sebelum ini kita ada siri penerangan, penjelasan dan modul untuk peringkat komuniti.

"Maka saya lihat untuk masa hadapan, usaha tingkatkan kesedaran rasa cinta kepada negara, dan juga cara-cara mengibar Jalur Gemilang yang betul kita awalkan bukan sekadar bulan Kebangsaan. InsyaAllah ini akan kita rancakkan melalui JAPEN dan pegawai-pegawai JAPEN yang ada di setiap daerah," ujar beliau.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemuka Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berhubung langkah konkrit diambil kementerian bagi mengelak insiden kesalahan memapar dan memasangkan Jalur Gemilang dari berulang serta usaha meningkatkan semangat patriotisme terutamanya golongan belia di Dewan Rakyat.

Datuk Fahmi turut menegaskan bahawa kemudahan penjanaan imej menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) berpotensi menyebabkan sesetengah pihak cuai menyemak ciri-ciri Jalur Gemilang.

Justeru, semua pihak digesa bersikap lebih berhati-hati dalam pemaparan dan pemasangan bendera kebangsaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD