KUALA LUMPUR, 6 November - Program Travelog: Best of Asia dilihat sebagai platform pendidikan budaya, membolehkan penonton mengenali dengan lebih dekat cara hidup, nilai dan keunikan masyarakat Asia lebih dalam, di samping menanam rasa hormat terhadap perbezaan sosial dan cara hidup masyarakat serantau.
Penerbit dan penulis skrip Siti Fauziah Masnan berkata, program itu menumpukan kepada pengalaman tulen seorang pengembara memahami dan mempelajari budaya tempatan seperti di Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.
"Kita nak tunjuk cabaran dan realiti sebenar pelancong ala pengembara beg galas dan bagaimana mereka terokai sistem pengangkutan awam bagi mencari lokasi tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Siti Fauziah turut berkongsi antara cabaran utama produksi dalam menguruskan penggambaran dengan hos yang berada di Jepun.
Ia sekali gus memaksa pasukan produksi bergantung sepenuhnya kepada mesyuarat dalam talian sebelum bertemu buat pertama kali di lokasi penggambaran.
"Kami hanya berjumpa secara fizikal di Jepun untuk penggambaran, dan hanya di situlah hala tuju program dimuktamadkan," katanya lagi.
Meski berdepan kekangan jarak dan masa, Travelog: Best of Asia kekal komited mengekalkan keaslian serta mesej inspirasi kepada penonton bahawa pengembaraan sejati bukan diukur pada kemewahan, tetapi pada semangat ingin tahu dan keberanian untuk melangkah keluar dari zon selesa.