BATU KAWAN, 6 November - Seramai 1,699 anggota Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dikerah bagi menghadapi gelombang kedua banjir pada Monsun Timur Laut, tahun ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Mohamad Shoki Hamzah berkata tumpuan diberikan kepada 53 lokasi sering dilanda banjir seluruh negeri itu.
Enam lokasi kerap kejadian tanah runtuh turut dikenal pasti.
Anggota tersebut bersedia digerakkan pada bila-bila masa termasuk pada waktu malam.
"Buat masa sekarang ini, kita masih kekalkan pos-pos tersebut. Apabila musim hujan dan sebagainya kita akan buat penghantaran kawasan tersebut.
"Ikut pengalaman dahulu, bukan sahaja banjir berlaku, kecemasan lain seperti pokok tumbang, tanah runtuh turut berlaku. Contohnya pada musim hujan yang lepas, berlakunya tanah runtuh kawasan Balik Pulau," kata beliau dalam Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Musim Monsun Timur Laut 2025 Peringkat JBPM Pulau Pinang di sini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 10 buah bot bernilai RM120,000 diserahkan kepada 10 pasukan Bomba Komuniti di kawasan kerap banjir di Pulau Pinang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H'ng Mooi Lye berkata pemilihan dibuat berdasarkan data kejadian banjir tahun lalu, termasuk lokasi yang pernah membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Tujuan bagi persiapan menghadapi musim monsun yang dijangka pada hujung tahun ini. Setiap Bomba Komuniti yang dipilih merupakan kawasan kerap banjir. Contoh kawasan yang pernah ada PPS, pusat perbincangan sementara pada masa sebelum ini," kata beliau pada majlis tersebut.
Beliau turut memaklumkan ketika ini 14 projek mitigasi banjir utama di seluruh Pulau Pinang sedang dilaksanakan.