fb fb fb fb fb

Pelan Induk OSHMP30 fokus pendigitalan, daya tahan sistem keselamatan pekerjaan

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon/RTM

KLANG, 6 November – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan melaksanakan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026-2030 (OSHMP30) sebagai kesinambungan kepada OSHMP25 yang bakal berakhir tahun hadapan.

Pelan baharu itu menumpukan kepada enam teras strategik utama berasaskan pendigitalan, daya tahan dan kelestarian sistem keselamatan serta kesihatan pekerjaan (KKP), selaras dengan perubahan landskap kerja masa hadapan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon berkata pelan berkenaan akan memperkukuh budaya kerja selamat dan sihat di semua sektor pekerjaan bagi menghadapi cabaran baharu dunia pekerjaan.

“Pelan ini juga dibina berasaskan tiga teras utama iaitu memperkasa tadbir urus KKP, meningkatkan keupayaan dan kapasiti sumber manusia serta mengarusperdanakan KKP dalam setiap sektor dan lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Simposium Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan OSHMP25, pelbagai kejayaan telah dicapai termasuk peningkatan kesedaran dan budaya KKP di tempat kerja hasil inisiatif berimpak tinggi bersama rakan strategik.

Malaysia turut memperkukuh reputasi di peringkat antarabangsa melalui ratifikasi Konvensyen ILO C.155 pada 11 Jun 2024, menandakan komitmen negara terhadap piawaian global bagi mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat.

Pelaksanaan OSHMP25 juga mempamerkan ekosistem inklusif berteraskan nilai “KKP Inklusif, Kebersamaan dan Komitmen” melalui pelbagai aktiviti advokasi, latihan serta penglibatan aktif sektor tidak formal dan pekerja sewa.

Simposium yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui JKKP itu turut menjadi wadah untuk memperlihatkan pencapaian tujuh teras strategik OSHMP25, selain membuka ruang perkongsian kepakaran antara kerajaan, industri dan akademia.

Ketua Pengarah JKKP, Mohd Hatta Zakaria berkata pelaksanaan tujuh teras strategik OSHMP25 dihargai melalui penganjuran simposium yang turut memberi pengiktirafan kepada rakan-rakan strategik atas sumbangan mereka dalam menjayakan pelan tersebut.

0611 SUTEKNO PELAN INDUK BAHARU 2Ketua Pengarah JKKP, Mohd Hatta Zakaria/RTM

“Hari ini kita adakan simposium bagi menghargai rakan-rakan strategik yang telah bersama melaksanakan pelan induk ini,” jelasnya.

Program berkenaan disertai kira-kira 200 peserta, dengan lebih 20 pameran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut diadakan sepanjang simposium berlangsung.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN