KOTA BHARU, 7 Februari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti lebih 70 lokasi panas atau hospot kemalangan di seluruh negeri itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 10 dan 11 Febuari ini.
Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata, daerah Gua Musang menjadi antara lokasi tumpuan memandangkan 15 lokasi panas kemalangan dikenal pasti di kawasan terbabit.
Selain Gua Musang daerah Kuala Krai juga menjadi lokasi tumpuan pihaknya apabila tujuh kawasan hotspot kemalangan turut dikesan di kawasan itu.
"Anggota bertugas akan menggunakan fasiliti kita, kalau menggunakan jentera bomba akan berlaku kesesakan laluan.
"Jadi kita ada motosikal yang siap sedia dengan fasiliti kita di tengah-tengah tu kita ronda setiap hari. Kita buat setiap masa," katanya selepas melancarkan program menghapus bahaya kebakaran (MBK) dan Kesiapsiagaan OPS Perayaan tahun Baru Cina 2024 di pejabat JBPM Kelantan di sini.
Dalam pada itu Zainal berkata, kesiapsiagaan pihaknya berada pada tahap terbaik dengan kekuatan 650 anggota termasuk lebih seribu sukarelawan bomba.