fb fb fb fb fb

Lebih RM30 juta BAP beri manfaat kepada lebih 200,000 pelajar di ibu negara

Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 7 Februari- Lebih RM30 juta peruntukan diagihkan menerusi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia melibatkan 202,899 murid di 289 buah sekolah di semua daerah di ibu negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, bantuan tersebut akan disalurkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu sebanyak RM15.34 juta, PPD Sentul (RM7.9 juta) serta selebihnya diserahkan ke PPD Keramat.

"Kesemua wang itu kita telah salurkan kepada sekolah-sekolah, dan ianya sedang dalam usaha untuk disalurkan kepada ibu dapa atau penjaga.

"Kira-kira 95 peratus sekolah telah menyempurnakan penyerahan ini dan yang tinggal kurang daripada lima peratus akan diselesaikan dalam masa dua tiga hari ini sebelum cuti sekolah bermula," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara.

Sementara itu rata-rata ibu bapa yang ditemui RTM meluahkan rasa syukur dan gembira dengan pemberian bantuan tersebut.

Suresh Venugopal yang ditemui berkata, sumbangan itu dapat digunakan bagi sesi persekolahan nanti.

"Saya percaya bantuan ini dapat membantu ibu bapa dan dapat digunakan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan."

Bagi Seek Sei Sei, bantuan yang diterima akan digunakan untuk membeli baju sekolah baharu.

"Saya sangat gembira, dengan bantuan RM150 ini saya boleh gunakan untuk membeli baju baharu untuk anak saya."

Sementara itu Munirah Abdul Halim menyifatkan bantuan tu memberi sedikit kelegaan kepadanya untuk menyediakan peralatan persekolahan kepada dua orang anaknya.

"Saya sangat bersyukur dapat bantuan ini. Saya boleh gunakan untuk membeli peralatan sekolah untuk dua orang anak saya. Jadi saya kira bantuan RM150 setiap orang ini cukuplah untuk membeli keperluan mereka."

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI