fb fb fb fb fb

Penubuhan 'Wellness Hub' pupuk budaya hidup sihat

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

KANGAR, 7 Februari- Penubuhan 'Wellness Hub' di seluruh negara selaras aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) untuk mendorong rakyat amalkan budaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran. Fasiliti yang komprehensif serta terancang disediakan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, sehingga kini terdapat 32 'Wellness Hub' yang beroperasi sepenuhnya di bandar mahupun luar bandar.
 
Pusat sehenti ini menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti setempat, antaranya penilaian risiko kesihatan, perkhidmatan pengurusan berat badan berkumpulan dan senamrobik komuniti mingguan.

"Dalam tahun ini kita akan mewujudkan satu dan dua lagi berdasarkan keperluan-keperluan dan juga permintaan-permintaan kerajaan negeri dan juga ketua masyarakat setempat dan juga dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri untuk mewujudkan 'Wellness hub' ini di seluruh Malaysia.

"Kita akan mempertimbangkan kawasan-kawasan yang sudah mempunyai fasiliti yang bersesuaian untuk kita masuk dan juga kita untuk mengurangkan beban kewangan kita mengelakkan untuk membuat kaedah membina baharu", katanya kepada media pada Majlis Perasmian Wellness Hub UTC Perlis dan Program Advokasi Mengurangkan Gula serta Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Perlis di Wellness Hub UTC Perlis.

Sementara itu, menerusi Kempen Kurangkan Gula peringkat Negeri Perlis, beliau berharap program tersebut menjadi titik permulaan untuk rakyat negeri Perlis mula mengorak langkah bagi mengamalkan pemakanan sihat dengan mengurangkan pengambilan gula seharian. 
 
Manakala, sambutan Hari Kanser Sedunia, pelbagai program komuniti melibatkan kampung angkat pergigian serta lokaliti Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) seperti ceramah kesedaran kanser, pameran, kuiz kesihatan serta perkhidmatan saringan kanser di lapangan dilaksanakan.

ROSLINA BINTI DIN