fb fb fb fb fb

Operator ladang ayam, pemandu lori maut dalam dua kemalangan berasingan

Kereta yang dipandu M. Moganasuntheram a/l Maruthapillai terjunam ke kawasan semak

BALING, 7 Februari- Seorang operator ladang ayam dan seorang pemandu lori maut dalam kemalangan jalan raya di dua lokasi berasingan di Baling, Kedah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi. Ia melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kampung Padang Kulim, Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang.

Siasatan awal mendapati, kereta yang dinaiki seorang guru wanita berusia 35 tahun bersama tiga orang anaknya berusia dua, tujuh dan 10 tahun dari arah rumah mereka di Kuala Ketil menghala ke Sik merempuh sebuah motosikal.

Manakala motosikal ditunggang mangsa, Mohamad Syafiq Izzuan Mohd Subri, 24 tahun dari arah Kampung Kuala Darak menghala ke ladang ayam di Batu 5, Sik dipercayaai hilang kawalan dan termasuk ke laluan bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta. Akibat daripada kemalangan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kejadian kedua kira-kira pukul 8.40 pagi, pemandu lori, M. Moganasuntheram a/l Maruthapillai, 60 tahun, maut selepas kereta yang dipandunya terbabas.

Kejadian berlaku di Kampung Kubang Bedengung, Jalan Sungai Petani/Baling ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke rumahnya di Taman Orkid, Kuala Ketil.

"Kereta mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan yang dipenuhi semak samun. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.

Kedua-dua kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI