
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur akan dipercepatkan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim baru-baru ini.
- Pasukan petugas khas ditubuhkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam di kawasan hijau dan kolam takungan.
- Sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk meneliti langkah mitigasi banjir dan memastikan fungsi kawasan takungan terpelihara.
- Waktu operasi 10 padang terbesar di ibu negara dilanjutkan bagi memberi peluang beriadah bersama keluarga.
- Waktu pembukaan diawalkan kepada 5.30 pagi; penutupan pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan pasukan petugas khas turut diwujudkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam di kawasan tersebut terus terpelihara.
“Baginda bertitah supaya jangan lambatkan keputusan pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir kerana itu adalah kawasan-kawasan untuk kepentingan awam.
“Susulan itu, kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mewartakan sebanyak mungkin padang dan kawasan hijau.
“Bukan itu sahaja, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi meneliti langkah mitigasi banjir bagi memastikan fungsi kawasan itu dalam keadaan baik,” katanya kepada media selepas majlis KLAF 2026, di sini hari ini.
Sementara itu, Hannah memaklumkan waktu operasi bagi 10 padang terbesar di ibu negara termasuk Taman Tasik Titiwangsa bakal dilanjutkan bagi memberi peluang kepada orang awam untuk beriadah bersama keluarga.
Jelas beliau, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud mahu memberi fokus kembali kepada asas dengan menghidupkan semula lebih banyak kawasan rekreasi buat orang ramai.
“Kuala Lumpur sudah ada banyak bangunan pencakar langit cuma sekarang kita nak menghidupkan tempat-tempat rekreasi untuk seisi keluarga.
“Waktu pembukaan diawalkan dari jam enam pagi kepada 5.30 pagi, manakala pada hari Jumaat dan Sabtu waktu penutupan dilanjutkan dari 10 malam kepada 12.30 tengah malam,” katanya.