
SERDANG, 18 Mei- Proses penanaman padi bagi musim 1/2026 di Kedah dijangka dimulakan dalam masa terdekat.
- Lebih 50% sawah di Kedah sudah memasuki fasa pembajakan.
- Bekalan air mula disalurkan ke bendang walaupun paras empangan masih belum memuaskan.
- Hampir 90% pesawah belum memulakan penanaman kerana kos operasi meningkat dan kekurangan bekalan air.
- Kementerian bimbang kelewatan boleh menjejaskan tahap sara diri beras dan akan usaha tampung sebarang kekurangan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini lebih 50 peratus sawah di negeri itu telah memasuki fasa pembajakan.
Menurut beliau, kawasan sawah juga mula menerima bekalan air meskipun paras empangan masih belum berada pada tahap optimum.
“Ketika ini, lebih 50 peratus kawasan sawah telah memasuki fasa pembajakan dan bekalan air juga sudah mula disalurkan ke bendang. Namun, paras air di empangan masih belum mencapai tahap memuaskan.”
“Bagaimanapun, proses penanaman dijangka dimulakan dalam masa terdekat memandangkan sebahagian besar kawasan telah siap dibajak dan kerja-kerja berkaitan sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hi-Tea “Pitch and Connect MAHA 2026” di Taman Ekspo Pertanian Malaysia(MAEPS), di sini.
Terdahulu, media melaporkan hampir 90 peratus pesawah di Kedah termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum memulakan penanaman padi bagi musim 1/2026 susulan peningkatan kos operasi dan kekurangan bekalan air.
Mengulas perkara itu, Datuk Seri Mohamad berkata kelewatan penanaman berpotensi menjejaskan tahap sara diri beras (SSR) negara.
“Bagi seluruh Malaysia, sekiranya berlaku kelewatan penanaman, ia boleh menyebabkan pengurangan hasil. Kita juga memahami bahawa faktor cuaca yang tidak menentu kadangkala mempengaruhi jadual penanaman.”
“Namun, jika berlaku kekurangan dari segi kadar sara diri, insya-Allah kementerian akan berusaha untuk menampung sebarang kekurangan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian turut mendapatkan maklumat lanjut berhubung laporan aktiviti penanaman bunga di Cameron Highlands yang didakwa terjejas.
Sementara itu, Datuk Seri Mohamad berkata Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan menyasarkan potensi pelaburan bernilai berbilion ringgit menerusi pelbagai inisiatif dan pameran teknologi pertanian tempatan serta antarabangsa.